Pengusaha Homestay Malaysia Perkuat Kompetensi Pelancongan Mesra Muslim Sambut Visit Malaysia 2026

Pengusaha Homestay Malaysia Perkuat Kompetensi Pelancongan Mesra Muslim Sambut Visit Malaysia 2026

Malaysia – Pertubuhan Pengusaha Homestay Malaysia (PPHM) menyambut baik pelaksanaan Program Latihan Kompetensi Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) yang berlangsung pada 4 dan 5 Ogos 2026 di Kampungstay Desa Murni, Temerloh, Pahang.

Program yang dilaksanakan hasil kerjasama strategik bersama Islamic Tourism Centre (ITC) itu dinilai sebagai langkah penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan komuniti homestay Malaysia bagi memenuhi keperluan pelancongan mesra Muslim yang semakin berkembang, seiring dengan aspirasi Visit Malaysia 2026.

Presiden Pertubuhan Pengusaha Homestay Malaysia, Dato’ Haji Sahariman bin Hamdan, menyatakan latihan berasaskan kompetensi seperti MFAR sangat penting bagi memastikan pengusaha homestay bukan sahaja menyediakan kemudahan penginapan, tetapi juga mampu menawarkan pengalaman hospitaliti desa yang lebih diyakini, selesa, tersusun serta memenuhi harapan pelancong tempatan dan antarabangsa.

“MFAR menjadi salah satu kerangka penting dalam membantu komuniti homestay meningkatkan tahap pematuhan, profesionalisme dan keyakinan pasaran terhadap produk Homestay Malaysia dan Kampungstay,” ujarnya.

Menurutnya, melalui silibus MFAR, para peserta diberikan pendedahan menyeluruh berkaitan pelancongan Islam dan pelancongan mesra Muslim, konsep hospitaliti dalam perspektif Islam, kepentingan pensijilan halal, prosedur sertu, penyediaan makanan dan minuman halal, kemudahan asas Muslim seperti tanda arah kiblat, serta proses dokumentasi dan permohonan pengiktirafan MFAR.

Program tersebut turut merangkumi ujian penilaian bertulis, panduan penggunaan logo MFAR serta penyampaian sijil kompetensi kepada peserta yang mengikuti latihan.
PPHM melihat program ini bukan sahaja meningkatkan ilmu dan kemahiran pengusaha homestay, keluarga angkat serta pemain industri pelancongan berasaskan komuniti, tetapi juga mampu memperkukuh penjenamaan Homestay Malaysia dan Kampungstay sebagai produk pelancongan luar bandar yang berdaya saing.

“Apabila sesebuah homestay diperkasakan, manfaatnya turut dirasai oleh komuniti setempat termasuk keluarga angkat, golongan belia, wanita, pengusaha makanan, penggiat kebudayaan, pembekal produk tempatan serta perusahaan mikro luar bandar,” katanya.

Beliau menegaskan, latihan seperti MFAR bukan sekadar meningkatkan standard operasi, tetapi turut berperanan merangsang ekonomi komuniti, mengukuhkan jaringan kerjasama serta memperluas penyertaan masyarakat dalam rantaian nilai industri pelancongan.

PPHM juga berpandangan pembangunan bakat melalui kerangka MFAR dan MFHIP amat relevan dalam melahirkan komuniti serta tenaga kerja yang lebih bersedia dari segi operasi hospitaliti, pematuhan syariah, kepimpinan komuniti, komunikasi, peningkatan perkhidmatan dan pembinaan nilai profesional.

“Usaha ini secara tidak langsung menyokong Malaysia untuk terus menonjol sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim yang unggul di peringkat serantau dan antarabangsa,” tambahnya.

Sehubungan itu, PPHM merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta Islamic Tourism Centre (ITC) atas kepercayaan, komitmen dan sokongan dalam menjayakan program berkenaan.
Penghargaan turut disampaikan kepada Yang Berhormat Puan Leong Yu Man, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, atas sokongan terhadap pembangunan industri pelancongan, hospitaliti mesra Muslim serta pemerkasaan komuniti homestay di Negeri Pahang.

PPHM berharap kerjasama strategik seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan ke seluruh negara agar lebih ramai pengusaha homestay memperoleh manfaat daripada latihan, bimbingan dan pemerkasaan secara berterusan.

Dengan sokongan semua pihak, PPHM yakin komuniti homestay mampu memainkan peranan lebih besar dalam menjayakan Visit Malaysia 2026 serta memperkukuh imej Malaysia sebagai peneraju pelancongan mesra Muslim dan pelancongan berasaskan komuniti. (Mdtk)